Monday, 3 October 2011

Sabar itu indah...

Sifat sabar ini telah dihurai panjang oleh ustaz Pahrol Mohamad Juoi yang bertajuk "Sabarlah Dalam Bersabar" dan "Sabar Itu Indah". Turut menghuraikan mengenai sifat sabar ini ialah ustaz Ahmad Baei Jaafar dengan tajuk artikel beliau "Mencabar Wibawa Mukmin" dan ustaz Rashidy Jamil al-Rashid dengan karya yang bertajuk "Mengenal Sabar".

Menurut ustaz Pahrol Mohamad Juoi di dalam tulisan beliau yang bertajuk "Sabarlah Dalam Bersabar", makna sabar dari segi bahasa ertinya menahan atau mengekang. Sementara dari segi praktiknya pula, sabar bermaksud menahan atau mengekang diri daripada rasa keluh-kesah dan sedih dalam menghadapi sesuatu yang tidak disukai. Lawan kepada sifat ini adalah sifat sedih dan keluh-kesah.

Di dalam al-Quran Allah telah menyebut sifat sabar lebih daripada 90 tempat. Sebenarnya apabila kita bercakap mengenai sifat sabar, ertinya kita menyentuh soal keimanan. Firman Allah s.w.t yang bermaksud : "Dan orang bersabar dalam musibah, penderitaan dan peperangan, mereka itulah orang yang benar imannya dan mereka itulah orang yang bertaqwa."(Surah al-Baqarah 2:177).

Adakah kita telah mempraktikan ketinggian dan kemuliaan sifat sabar ini dalam diri kita, kehidupan seharian kita, kepada keluarga kita, anak-anak kita, dalam ibadah kita, dalam pekerjaan kita dan apa sahaja perkara yang kita lakukan di muka bumi Allah ini? Pernahkah kita rasa merungut, keluh-kesah, marah dan putus asa jika Allah menguji kita dengan sesuatu musibah yang tidak pernah kita jangkakan akan berlaku dalam hidup kita? Di sinilah perlunya sifat kesabaran untuk kita mengawal hawa nafsu yang memberontak agar kita sentiasa berasa tenang dan sentiasa kembali kepada Allah serta tidak terus dipandu oleh hawa nafsu jahat kerana tanpa sabar kita selamanya akan berada dalam kegelapan.

Menurut ustaz Pahrol lagi dalam coretan beliau di bawah tajuk yang sama, Allah sebagai Pencipta yang Maha Berkuasa juga bersifat sabar kerana Allah tidak segera menghukum hamba-hamba-Nya yang berdosa. Allah bersabar atas kerenah dan perbuatan hamba-Nya. Justeru salah satu daripada nama-nama Allah yang baik (Asma al-Husna) adalah al-Sabur (Zat Yang Maha Sabar).

Ini diakui sendiri oleh Rasulullah s.a.w dengan sabdanya yang bermaksud: "Tidak ada seorang pun yang mendengar sesuatu yang menyakitkan lebih sabar daripada Allah. Dia telah disekutukan dan dianggap memiliki anak, tetapi Dia membiarkan dan memberi mereka rezeki."(Riwayat Ahmad daripada Abu Musa al-Ash'ari) - Dipetik daripada nukilan ustaz Pahrol Mohamad Juoi "Sabarlah Dalam Bersabar".

No comments:

Post a Comment